Tuesday 18 March 2014

Biografi Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid

Biografi Guru

Biografi 
Al Habib Ali Zaenal Abidin 
Bin Abu Bakar Al Hamid


Majlis Ta'lim Darul Murtadza dibimbing oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid.

Nama penuh / Nasab beliau: 

Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar bin Salim bin Hadi bin Salim Al Hamid bin Sheikh Abu Bakar 


Berikut adalah sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau:-

1974 – 1992

Foto Kredit: RoundtripParadise

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 12 April 1974, selepas solat Jumaat di Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia. Beliau anak ke-2 dari 6 adik-beradik (4 lelaki dan 2 perempuan). Beliau daripada keluarga sederhana yang hidup di sebuah perkampungan yang didiami oleh ramai para ulama' dan terdapat juga beberapa buah pondok pesantren di situ.

Sewaktu membesar, beliau berguru dengan:

  1. Ustadz Hasan Baharom
  2. Ustadz Soleh Bal As'ad
  3. Ustadz Abdul Hamid
  4. Ustadz Soleh Bin Agil
  5. Ustadz Ahmad Barakwan
  6. Ustadz Husin Bin Abu Bakar
dan ramai lagi para asatizah. Beliau berguru dengan kesemuanya berbagai-bagai kitab dalam bidang agama.

1993 – 1995



Pada usia beliau 21 tahun, dengan restu Ayahanda, Al Habib Abu Bakar bin Salim Al Hamid, dan Bonda, beliau pergi ke Hadhramaut, Yemen untuk meneruskan pengajian. Di Hadhramaut, beliau berguru dengan:

  1. Al Habib Umar bin Hafidz (pemimpin Dar Al Mustafa)
  2. Al Habib Ali Masyhur
  3. Al Habib Salim As Syatiri
  4. Al Habib Hasan As Syatiri
  5. Al Habib Abdullah Bin Syihab
  6. Al Habib Abdul Qadir Jailani Al Masyhur
  7. Al Habib Abdullah bin Syeikh Al Idrus
  8. Syeikh Fadal Ba Fadal
  9. Al Habib Musa Al Kazim As Saqqaf
  10. Syeikh Umar Husain Al Khatib
  11. Syeikh Umar Abu Bakar Al Khatib
  12. Al Habib Ali Abdul Rahman Al Jufri

Habib Umar Bin Hafidz (kanan) bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid

Beliau juga adalah antara anak murid Al Habib Umar bin Hafidz yang pertama di Dar Al Mustafa. Bakat semulajadi beliau sebagai seorang pendakwah mula diasah oleh Al Habib Umar bin Hafidz.

1996 – 2001

Foto Kredit: ibnuirfadzil

Selepas pengajian beliau di Hadhramaut, Yemen, beliau pergi ke Mesir pula. Selama 5 tahun di Universiti Al Azhar, beliau terus berguru mendalami ilmu-ilmu agama dengan:

1. Dr. Abdul Badi' Abu Hashim
2. Dr. Saad Jawish
3. Dr. Ali Jum'ah
4. Dr. Muhammad Jibril

Di sini juga beliau, seiring dengan belajar, telah terus mengasah kemahiran berdakwah beliau dengan mengajar dan mendidik pelajar-pelajar dari pelbagai kaum dan bangsa.

2002 – SEKARANG
Foto Kredit: src-iium

Setelah menerima ijazah (degree) dalam jurusan 'Islamic Legislation and Law' dari Universiti Al Azhar, beliau meneruskan kembara ilmunya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, beliau bernikah dan sejak itu, beliau serta isteri telah dianugerahkan dengan 3 orang puteri.

Setelah selesai kuliahnya di peringkat Sarjana (Masters), beliau sekarang sedang giat berusaha menyempurnakan Doktor Falsafah (PhD) beliau dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

DARUL MURTADZA



Dalam tahun 2004, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri, pengasas Darul Murtadza berpindah ke Kota Tinggi, Johor. Oleh kerana itu, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri telah memohon Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid untuk mengambil alih.


Alhamdulillah, sejak dari itu, Darul Murtadza telah berkembang dari awalnya sebagai pengajian di rumah Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dengan jemaah 10 – 20 orang ke sekarang, di Surau Al Hidayah (AU3) dengan jemaah yang makin bertambah. 

Latarbelakang pendidikan dan pembangunan diri Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang dinamik dan menyeluruh, diregukan dengan bakat semulajadi dan kemahiran berdakwah yang telah diasah dan dibentuk oleh guru-guru beliau, menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan sahaja dikenali dengan kehebatan beliau di medan ilmu dan dakwah, tetapi juga sama dikenali kerana akhlak dan adab beliau yang mulia. 
SUMBER: http://www.darulmurtadza.com/p/biografi-guru.html




Monday 28 January 2013

DAKWAH TERAKHIR (keluar METRO 28/1/13)
Hari-Hari Terakhir Seorang Mujahidah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Almarhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir
Almarhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir
.
Suatu hikmah yang besar dari Siti Hajar Binti Ahmad Sabir, seorang Mujahidah yang telah kembali ke alam sana. Alhamdulilah arwah adalah insan solehah yang terpilih, keperibadian beliau amat dikagumi dan harus ditauladani.. mudah-mudahan bukan saja terpilih di muka bumi malah di sana juga akan memperolehi tempat istimewa….

Al-Fatihah….

 .
Hasil penulisan ini sesungguhnya telah ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada al marhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir
‘Dari Allah ia datang, dari Allah jua ia kembali…’
Takziah buat keluarga SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.. dan terima kasih kerana berkongsi.. Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca.
.
.
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.
.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’
.
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.
.
9 Jan 2013 (Rabu)

Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.
.
10 Jan 2013 (Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.
.
11 Jan 2013 (Jumaat)

Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya. UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
.
12 Jan 2013 (Sabtu)

Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.
.
13 Jan 2013 (Ahad)

Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.
Tiada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkannya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.
Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata
“Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”
Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti.
“Orang azan kot” tingkah saya.
Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur.
Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’
.
14 Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam. Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.
Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?” jawab suami”Percaya”.
Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”
Sesekali dia tersenyum manis.
Kami tanyakan “kenapa senyum?”
Dia jawab…”Ada bau wangi sangat”.
“Selalu ke akak terbau macam tu?”
Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah”
Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.
.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget – masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.
Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.
.
16 Jan 2013 (Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.
Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.
.
17 Jan 2013 (Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.
Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa.
“Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .
Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkap.
Saya tanya, nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi.
Katanya : “Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”
Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,”
Hajar Angguk. Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.
Dalam termengah2 dia berkata “mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan”
“Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali.
Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.
Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.
.
18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.
.
19 Jan 2013 (Sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.
Belum pun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.
Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir.
.
20 Jan 2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya. Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH. Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.
.
Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar. Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,(tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya.
.
.
SITI  HAJAR

Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah
.
.
# Ana turut tumpang sedih dan terharu ketika membaca kisah ini yang pastinya akan memberi banyak pengajaran kepada yang sesiapa jua membacanya….
 .
اللهم اغفرلها وارحمها… رضاالله في رضا الوالدين…
“Ya Allah! Ampunilah dosanya…keredhaan Allah mengiringi redha kedua2 ibubapanya…”
Ya Allah! Rahmatilah roh arwah SITI HAJAR.. dan tempatkanlah arwah bersama golongan yang beriman, orang-orang yang Dikau kasihi dan cintai. Semoga Allah bukakan pintu syurga dan kurniakan damai di syurga abadi. InsyaAllah syurga sudah menanti untukmu di sana
 .
Dari mutiara kata Al Habib Munzir bin Fuad Al Musawa beliau berkata : “Sering terlintas dalam benak manusia bahwa kita memiliki banyak hajat, namun jangan sampai mengingat Allah lebih sedikit (Maksudnya, perbanyaklah mengingat ALLAH) dari mengingat hajat kita, karena hajat kita bisa Allah berikan sebelum kita memintanya, semua itu bisa terjadi karena Allah Maha Tau, kita tidak mengetahui hajat kita di hari esok namun Allah mengetahuinya, maka tanpa kita memintanya hajat kita di hari esok telah terpenuhi.”
 .
.
Moga perjuangannya diterus oleh mujahid dan mujahidah yang masih tinggal di bumi Allah ini.. dan semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang banyak mengingat Allah سبحانه وتعالى .
Aminnn Ya Rabul Alaminnn!
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
Sumber: Facebook
.

وَالسَّلاَمْ

.
Posted by; shafiqolbu

Wednesday 14 November 2012

Puasa Sunat Hari Asyura Dan Tasu’a Muharram


Puasa Sunat Hari Asyura Dan Tasu’a Muharram


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِاللهم صل على محمد وآل محمد
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat 1/3 malam.”   (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
.
Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berpuasa pada hari Asyura. Sewaktu Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura.
Rasulullah SAW bertanya: “Berpuasa apakah kamu  ini ?”. Jawab mereka, “Hari ini hari besar, pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil serta menenggelamkan Firaun dengan askar-askarnya. Maka Nabi Musa telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana itu kami pun berpuasa.” Sabda Nabi SAW: “Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu.” Dari itu Nabi berpuasa dan menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari itu.”    (Riwayat Muslim dan Ibnu Abbas r.a)
 .
Nabi SAW bersabda: Para Nabi berpuasa pada hari Asyura, maka berpuasalah kamu.”(Musnad Baqi ibn Makhlad)
 .
Berpuasa sebaiknya didahului dengan berpuasa pada Hari Tasu’a (9 hb. Muharam) agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi, yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.
.

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه ، قالوا : يا رسول الله ! إنه يوم يعظمه اليهود والنصارى. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم :” لئن بقيت إلى قابل ، لأصومن التاسع”…رواه مسلم

Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan Baginda menyuruh berpuasa pada hari tersebut. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya hari ini (‘Asyura) adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasara.” Maka Baginda bersabda: “Sekiranya daku masih ada pada tahun hadapan , pasti daku akan berpuasa juga pada hari sembilan (9 Muharram).”  (Riwayat Imam Muslim)
.
Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.”  – Riwayat Al Baihaqi.
 .
Rasulullah SAW bersabda:  “Puasalah kamu pada Hari ‘Asyura dan selisihilah orang-orang Yahudi padanya (maka) puasalah sehari sebelumnya dan sehari setelahnya.”  (HR. Ahmad dan Al Baihaqy r.a.)
.
Nabi SAW bersabda: “Tidak hanya manusia meraikan Asyura dengan puasa bahkan haiwan pun berpuasa. Di antara haiwan yang disebut berpuasa pada hari Asyura adalah burung ashurad, semut dan binatang buas.”   (Riwayat Abu Musa al-Madini, al-Fath dan al-Khatib).
.
.

 Niat Puasa

.
a.  Niat puasa hari kesembilan Muharam (Hari Tasu’a)  ialah:
 .
.
b.  Pada hari ke-10 Muharram (Hari Asyura) niat puasanya ialah:
.
.
.

Fadhilat Puasa Muharram

Kelebihan berpuasa pada bulan Muharam dapat dilihat melalui beberapa hadis Rasulullah SAW.:
 .
1.  Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Bulan Ramadhan adalah puasa di Bulan Muharram, dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat (sunat) pada malam hari.”  (Hadis Riwayat Imam Muslim)
.
2. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahunmelakukannya.”  (Hadis riwayat Ibni Abbas)
.
3. Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berpuasa pada Jumaat pertama Muharam, nescaya diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu.”  (Hadis Sahih)
.
4.  Sabda Rasulullah SAW lagi: “Siapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut pada hariKhamis, Jumaat dan Sabtu pada bulan Muharam, nescaya Allah memberi pahalaseperti beribadat 900 tahun.”  (Hadis Sahih)
.
5.  Rasulullah SAW bersabda: “Tiga hari daripada setiap bulan dari satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun.Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagisetahun yang berlalu.” (Hadis riwayat Muslim).
 .
6.  Kata Ibnu Abbas r.a.: “Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu ‘Hari Asyura’(10 Muharram), dan bulan puasa iaitu Bulan Ramadhan.” (Riwayat Imam Bukhary dan Imam Muslim)
.
7.  Daripada Abu Qatadah r.a. berkata: “Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Baginda menjawab: “Akan dapat menampunkan dosa setahun yang lalu.”  (Riwayat Imam Muslim)
.
.

Zakat Puasa

.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:” لكل شيء زكاة ، وزكاة الجسد الصوم “…رواه ابن ماجه

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Setiap sesuatu itu ada zakatnya tersendiri, dan zakat badan kita ini adalah PUASA. ”  (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah )
.

وقال صلى الله عليه وسلم: صوموا تصحوا

Dan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Berpuasalah kamu sekalian, nescaya kamu akan beroleh kesihatan.”
.
Maka marilah kita sama-sama berpuasa kerana ia adalah sunat muakkad (sangat dituntut), juga sebagai zakat badan dan menambahkan kesihatan tubuh.
.
.
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
.

Tuesday 31 July 2012


Tamakninah..

Solat.. Solat.. Solat.. 

Tahukah kita rukun-rukun solat.? Of course lah, rakan-rakan saya di sini 
semuanya hebat-hebat belaka kan. Yang ingin saya kongsi di sini 
bukanlah berkenaan rukun-rukun solat tetapi berkenaan salah satu rukun 
solat yang sering di abaikan.

Oleh kerana zaman sekarang semuanya mengamalkan konsep 'fast and 
furious', solat kita pun tidak ketinggalan mengamalkannya. Solat bagai
 dikejar hantu (eh macam pernah je lak kan.?)

Ayuh kita scan balik rukun-rukun solat. Salah satunya 
adalah tamakninah. Tamakninahhh.!!! Satu rukun yang sering diabaikan.
 Semua tahu kan, tanpa salah satu rukun solat, solat kita tidak sah.?
 (soal diterima atau tidak itu Allahua'lam)

Jadi hari ini, jom kita tambah sedikit pengetahuan tentang tamakninah
 (yang saya dapat dari majalah solusi #23).

************************************************************************************

Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat 
memandu sebuah kenderaan, waktu di persimpangan hentikan 
kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu
 masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah.

Rukun yang WAJIB disertakan tamakninah

1. Rukuk: Sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama rata 
dan kedua-dua belah tangan memegang kepala lutut, hentikan 
pergerakan seketika. Barangkali sempat membaca 'subhanAllah'.

2. Iktidal (bangun daripada rukuk): Pergerakan daripada rukuk
 terus menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti berdiri 
sebelum ini. 

3. Sujud: Sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tapak 
tangan, dua lutut, dua kaki, satu dahi) mencecah lantai, hentikan
 sebarang pergerakan seketika.

4. Duduk antara dua sujud: Sewaktu duduk sambil membaca
 doanya, tidak harus bergerak anggota kadar.

Tempat yang sering diabaikan tamakninah

1. Iktidal. Terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun
 daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus,
 dia telah turun untuk sujud. (tambahan: *juga kepada jemaah 
lelaki yang suka menggoyangkan tangan sesudah takbir bangun dari rukuk 
dan mengangkat sedikit seluar sebelum sujud juga perlu peka kepada 
tamakninah). Solat ini tidak sah kerana tidak tamakninah.

2. Sujud. Waktu sujud kedua-dua kakinya bergerak-gerak dan ada yang
 mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam
 keadaan ini tidak sempurna dan tidak tamakninah maka solatnya tidak sah.

3. Bangun daripada sujud. Waktu bangun dari sujud, ketika hendak
 berdiri tegak ke rakaat seterusnya tidak ada tamakninah tetapi 
disunatkan duduk sebentar yang diberi nama duduk istirahat.

*****************************************************************************************




Itulah sedikit sebanyak yang saya ingin kongsikan hari ini. Jika ada 
kesilapan, betulkan saya. Sesungguhnya yang baik itu datang dari
 Allah, yang buruk itu juga datang dari Allah tetapi melalui kelemahan
 diri saya sendiri. Wallahua'lam :)

Wednesday 4 July 2012

mutiara kata


"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan."
-Hassan Al Basri-

 "Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"
-Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi-

Sunday 29 April 2012

Surah As-Sajdah & Surah Al Mulk : Surah Penyelamat



Bismillahirrahmaanirrohim.

Assalamualaikum Wbr.

Pantasnya masa berlalu.    
Hampir 14 tahun almarhum ayahandaku Mohd Diah Bin Naam…kembali ke rahmatullah.   Arwah bonda pula telah pergi 10 tahun lebih awal dari ayahandaku.  24hb Februari ini genaplah 29 tahun kepergian arwah kakakku yang mendahului kami semua.  Semoga ENGKAU mencucuri sebesar-besar rahmatmu ke atas roh-roh mereka ya Allah.  Ampuni dosa mereka dan tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Masih aku ingat lagi…….14 tahun yang lalu…….kira-kira  2 bulan selepas kembalinya arwah bapaku ke rahmatullah.  Pada malam itu, aku bermimpi yang aku sedang mandi.  Sejurus selepas selesai mandian aku telah di datangi beliau.  Masih terngiang-ngiang di telingaku

Arwah berkata kepadaku, “wahai anakku, hafalkanlah akan engkau Surah Al-Mulk, nescaya ia akan melindungimu di dalam kubur”.

Seumur hidup bapaku itu…..aku sentiasa mendengar dia membaca surah As-Sajdah, tak kira di mana…., di atas kenderaan  dan sering membawanya ketika mengimami makmum bersolat Subuh di pagi Jumaat.  Tatkala sampai ke ayat….” Wa ammallazii nafasakuu fama’ waa humunnaar.  Kullamaaaaa araa duuuuu aiyakh rujuu minhaaaaa u i duu fiihaa.  Wa qii lalahum zuu quu azaa bannaarillazii kuntumbihii tukazzibuun.   Wala nuzii qannahumm minal azaabil adnaa, duu nal azaa bil akbar laallahum yarjiuun.  As-Sajdah Ayat 20-21.

Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir), maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak ke luar daripadanya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya".  As-Sajdah Ayat 20

Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat); mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).  As-Sajdah Ayat 21

Maka…berjurai-jurailah airmatanya keluar dengan teresak- esaknya…….menyebabkan makmum termasuk aku merasa sungguh sebak sesebak sebaknya.
Dan dia menggesa aku menghafal Surah As-Sajdah serta memberitahu kelebihan surah As-Sajdah ini.
Bila aku membaca….. dia mendengar dan membetulkan bacaanku.
Namun…..tiadalah pula aku mendengar beliau membaca surah Al-Mulk seperti kelaziman beliau membaca Surah As-Sajdah.
Walaubagaimanapun……2 bulan selepas pemergiannya 14 tahun yang lalu……dia datang dalam mimpiku…….menggesa aku menghafal pula surah Al-Mulk.  Allahu Akbar.!!!  
Menitis airmataku …..tatkala menulis entry ini.

Mohon kurniaanmu Ya Allah ke atas kelebihan surah-surah ini untukku di alam barzah nanti.